Wednesday, January 6, 2010

Antara Keseronokan dan Kebahagiaan

2.11 p.m. 2/1/10

Antara Keseronokan dan Kebahagiaan.


Di dunia yang fana ini, kita tidak lari dari membuat pilihan. Sekecil-kecil pilihan antara putih dan hitam, atau sebesar-besar pilihan antara hidup dan mati. Pilihan2 ini adakalanya memberi kita suatu perubahan yang besar, perubahan yang kecil, atau kadang2 tidak bermakna langsung dalam hidup kita. Atau kadang2 kita tidak tahu pun, kerana kita memilih untuk tidak memibuat pilihan. Kerana kita tidak mahu berdepan dengan kepayahan memilih, Padahal untuk tidak membuat pilihan, juga satu pilihan bukan?

Kadangkala kita membuat keputusan tanpa berfikir panjang, lalu kita menyesalinya di kemudian hari. Ada juga pilihan yang kita lakukan setelah berfikir panjang, tetapi kita tetap jua menyesalinya. Kerana memang tidak ada apa yang pasti, tidak wujud pun sesuatu yang bernama “kepastian” di dunia yang dimiliki oleh Allah ini. Segalanya ditentukanNya. Kita hanya merancang, Tuhan yang menentukan. Lumrah dunia.

Pernahkah kita melihat orang berseronok? Kita sendiri pun sering berseronok bukan? Gelak tawa, senyum yang melebar, suara yang jelas kedengaran, suasana yang riang ria. Dengan siapakah kita berseronok? Keluarga, rakan-rakan, pasangan, malah kadang2 kita berseronok seorang diri, kadang2 tanpa sebarang sebab. Indah kan keseronokan? Tetapi, adakah hidup ini memerlukan kita berseronok pada setiap masa? Perlukah kita senyum sepanjang hari? Dan soalan2 yang paling penting, Mampukah kita kekal berseronok untuk setiap masa? Tidak akan adakah masa2 kita bosan? Bukankan segalanya tidak kekal? Kita juga perlu bosan, kita juga perlu bersedih, kita juga perlu menangis, kita juga perlu bermuram, kerana itulah kehidupan.

Bagaimana pula kita definisikan kebahagiaan? Sangat abstrak. Ada yang mengimpikan kebahagiaan itu seperti di dalam kisah2 dongeng, di mana ungkapan “dan mereka hidup bahagia selama2nya” adalah sangat popular. Hakikatnya, kebahagiaan bukanlah sesuatu yang dapat diukur. Ada yang mengatakan yang kaya itu bahagia, tetapi berapa ramai orang kaya yang tidak tidur lena? Ada juga yang mengatakan yang ramai kawan itu bahagia, tetapi bagaimana jika mereka berseorangan? Perlukah kita sentiasa berseronok untuk menjadi bahagia? Bahagia tidak bermaksud kekal gembira setiap masa. Bagi yang masih ada ibu bapa, yang hidup di dalam keluarga yang bahagia, pernahkah kita melihat tingkah laku ibu bapa kita? Ya, mereka kadangkala berselisih faham. Dan mereka juga bergurau senda. Dan mereka juga bermuram durja. Tetapi mereka masih juga bersama, untuk 10, 20, 30 tahun?

Jika ada yang mengatakan bahawa bosan itu tidak bahagia, bagaimana dengan ibu bapa kita yang telah bersama untuk berpuluh tahun lamanya? Sudah tentu kita pernah melihat mereka Cuma duduk bersama, tanpa berkata sepatah kata pun. Adakah itu bosan? Sering kita dengar, banyak perhubungan yang berakhir kerana “bosan”. Itu belum berumahtangga, jika sudah bergelar suami isteri, bagaimana mungkin setiap kali kita merasa bosan, perpisahan yang kita pinta. Ingatlah, segalanya adalah lumrah kehidupan. Ya, tidak semua yang bahagia, tidak semua yang kekal. Kerana memang tak ada yang pasti, tetapi jika tidak kekal pun, sekurang-kurangnya kita telah mencuba sehingga ke penghujung jalan.

Keseronokan itu memang sangat menguja. Tetapi ia selalunya untuk sementara. Kebahagiaanlah yang membawa makna sebenar dalam kehidupan kita. Pilihan untuk mengecapi kebahagiaan sempurna, itu tidak mungkin kerana kita terikat dengan takdir. Tetapi pilihan untuk berusaha, agar kita mampu merasa nikmat kebahagiaan hingga ke akhir hayat, itu semua di dalam tangan kita.

Yang mana satu pilihan anda?

HambaMalam

1 comment: