Thursday, February 11, 2010

Maybe It's My Time To Be Alone

1. Hari ini, aku pulang ke rumah setelah selesai kuliah dan mendapati yang blok rumahku terputus bekalan elektrik. Pada mulanya aku tidak kisah kerana ada Faiz, dan kami bersembang setelah menjejakkan kaki ke rumah. Aku tahu yang selepas ini aku akan keseorangan kerana dia akan keluar bersama buah hati tersayang(mintak izin guna nama mu boh..hehe..).

2.Lilin pula tidak ada, lampu suluh rosak, dan aku hanya bergantung kepada lampu suluh telefon bimbit milik Faiz, jika dia sudah keluar, lalu bagaimana? Tanpa berfikir panjang, aku terus keluar ke kedai untuk membeli lilin tetapi dua kedai pertama yang aku singgah telahpun kehabisan lilin kerana ramai yang membelinya akibat ketiadaan bekalan elektrik di kawasan ini. Nasib baiklah kedai ke-3 ada stok lilin.

3.Aku turun sahaja dari Suzy ku, dan hujan pun turut turun dengan lebatnya. "Nasib baik", kata hatiku. Dan aku menaiki tangga2 yang gelap. Sekali lagi aku tiba di rumah, dan Faiz pun keluar. Tinggallah aku berseorangan di dalam gelap. Aku nyalakan lilin, lalu menjamu diriku dengan nasi lemak & rangka ayam yang telah aku beli di pasar malam selepas kuliah tadi. Terasa agak romantik juga, tetapi biasanya romantik2 ni, perlu dua orang. Tapi tidak mengapalah.

4.Selesai makan, bekalan elektrik masih belum ada. Dan aku pun duduk menonton lilin. Dan menonton lilin. Dan menonton lilin lagi. Aku cuba untuk menekan butang2 telefon, tetapi agaknya pada masa tersebut, orang tengah sibuk. Aku takut menjadi pengganggu. Tidak mengapalah. Aku menonton lilin semula. Nak keluar, hujan pula. Nasib baiklah aku pergi mencari lilin, jika tidak pasti aku akan berada dalam kegelapan yang lebih gelap.

5.Bekalan elektrik tiba2 ada. Aku terus memandikan diri. Selesai mandi, bekalan elektrik terputus lagi. Juga secara tiba-tiba. Aku menonton lilin lagi.

6.Dan bekalan elektrik pun pulih seperti sediakala. Seperti biasalah, rutinku di kala malam. Aku pun menghidupkan laptopku dan berada di dalam talian. Dan ketika terang sudah rumahku, aku tetap sendiri lagi. Di alam nyata mahupun di alam maya. Lalu aku terlelap, dan mengharapkan sesuatu yang mampu membuatkan aku senyum apabila aku terbangun nanti.


(1) Rakan-rakan selalu berada bersama, biar susah, biar senang. Tetapi aku harus sedar yang dalam hidup ini, rakan-rakan tidak akan dapat ada di sana setiap masa. Apa-apa masalahpun, aku harus belajar menghadapinya sendiri.
(2) Kadangkala aku tahu aku berada dalam kesulitan dan aku tidak ada bekalan untuk menghadapinya, tidak ada teman untuk aku bergantung, tidak ada cahaya untuk menerangi hidupku. Aku cuba mencari sinar, tetapi memang sukar untuk ditemui kerana mungkin sinar itu bukan untuk aku, dan ramai yang turut mencarinya. Tetapi aku tahu lambat laun aku pasti akan bertemu jua dengannya.
(3) Hal-hal yang tidak disangka sering terjadi, kadang2 kita bernasib baik dan kadang2 kita tidak. Itu semua rezeki, dan takdir masing2. Rakan- rakan memang sentiasa ada di sekeliling, tetapi mereka juga ada hal sendiri, dan bila aku harus berseorangan, maka aku berseorangan lagi.
(4) Lilin. Walau semalap manapun sinarnya, ia tetap menjadi peneman setia di dalam kegelapan. Dan begitu jugalah harapan. Di saat2 kita terasa teramat sunyi, harapanlah yang menjadi penguat semangat untuk kita terus menempuh masa2 yang kita lalui. Biarpun harapan itu semalap bintang di kala hujan, aku tahu aku harus berusaha menggapainya. Tidak kisahlah jika aku berjaya atau tidak.
(5) Tetapi aku harus berhati2, harapan itu kadangkala ada yang palsu. Dan aku harus belajar untuk mengenali harapan yang harus aku kejar dan yang mana harus aku lupakan. Lilin menjadi peneman lagi. Menjadi harapan yang membolehkan aku melihat pilihan2 yang ada di sekelilingku.
(6) Dan ketika terang, gilang gemilangpun, kita masih boleh merasa sunyi. Kerana hanya orang di sekeliling yang mempunyai sinar yang menemani. Aku?masih statik dan sendiri. Masih lagi menanti. Masih lagi mencari dalam terang. Masih ada ruang kosong yang terlalu luas di hati ini.


Hidup ini tidak selalunya gembira, dan tidak pula sentiasa sedih. Ianya seperti Siang dan Malam. Siang tidak semestinya cerah, dan malam tidak semestinya gelita. Hidup juga tidaklah sentiasa berteman, kerana akan ada masanya apabila kita akan terpaksa bersendiri.


Dan mungkin ini giliran aku untuk hidup bersendirian...


HambaMalam

3 comments:

  1. Sentiasa ingat yg Yang Satu is always with you!!

    ReplyDelete
  2. yup..
    sebab tu la aku gembira 2 3 hari ni..
    semuanya pemberianNya..

    ReplyDelete
  3. those are the days that we have to struggle to rise up again.

    ReplyDelete